Friday, 24 July 2015

Kembali

Kembali setelah sekian lama menghilang. Kembali dari kehidupan seharian yang membosankan, tiada apa perubahan yang aku lakukan. Hanya sebuah kehidupan yang berlalu dengan penuh penyesalan. Hidup ini bukan satu angan-angan, tapi adalah satu impian yang harus sentiasa di perbetulkan. Sudah jauh aku di layarkan masa, zaman sentiasa bersuara uzur namun aku masih berhati muda. Jiwa kosong dan fikiran melayang jauh, hati sendiri gusar namun masih sombong untuk menunduk taat. Di bentang sejadah hanya sebulan sekali, dititip helaian surah hanya beberapa kerat sahaja. Masih kabur perjalanan yang dahulunya terang. Tidak diberi hidayah lalu semangat aku semakin kurang. Lemah di landai nafsu, sentiasa menjadi hamba serakah.

Memang sentiasa aku persoalkan kehidupan yang tidak adil. Tidak sentiasa menyebelahi aku. Kadangkala dibutakan mata lalu di tulikan hati. Aku tidak dapat melihat segala barakah kehidupan malah hanya sisa kotor menjadi pandangan setiap masa. Aku akui aku lemah, tatkala diperdengarkan azan serta bacaan surah, namun hati ini seolah-olah keras seperti dinding neraka. Tidak masuk ke dalam jiwa namun hanya bermain di minda kotor ini. 


Hari demi hari aku semakin lemah oleh dosa yang aku lakukan. Tidak mampu mengharungi segala ujian kehidupan. Hanya mampu melawan anasir jahat yang sentiasa menghantui diri ini. Aku ingin menjadi aku yang dulu. Yang sentiasa tidak lupa waktu sujud dan yang sentiasa menjaga harga diri. Aku akui aku tidak mampu berdiri sendiri, namun apakan daya, aku perlu belajar untuk jadi lebih kuat.